suria

Suruhanjaya Diraja Langkah Terbaik Selesai Isu PFN

Oleh IZRA ABD RAHMAN PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertegas dengan pendirian penubuhan Suruhanjaya Diraja menjadi kaedah terbaik bagi menyiasat kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam Pusat Fidlot Nasional (PFN).

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata suruhanjaya itu perlu kerana terdapat banyak isu yang timbul daripada pelantikan syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan keraguan mengenai pengurusan dana yang diberikan kepada syarikat tersebut.

"Isunya banyak. Banyak unsur penyelewengan, pecah amanah dan rasuah. Kelemahan asasnya bagaimana projek besar itu boleh diberikan kepada syarikat yang tak berpengalaman dan tak ada kemahiran?," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Menurut Rafizi walaupun beberapa langkah diambil oleh kerajaan melalui agensi penguatkuasaan bagi menjalankan siasatan namun cara tersebut dilihat tidak memadai.

Katanya, masyarakat sudah hilang sabar menunggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kes ini.

"Sudah lama siasat, sudah tiga-empat bulan. Langkah ini tak disukai rakyat," kata beliau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, pada Selasa yang mencadangkan agar tender baru projek ternakan lembu fidlot dibuka bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.

Katanya, PKR bersetuju sekiranya kerajaan ingin membuka tender baru projek ternakan lembu fidlot tetapi projek tersebut perlu diberikan kepada syarikat yang benar-benar layak dan berpengalaman.

"Memang betul (buka tender) kalau kerajaan mahu teruskan juga dan mahu teruskan sasaran projek dari tahun 2006 itu. Itulah cara terbaik dan saya setuju. NFC tak ada kemahiran dan pengalaman," katanya.

Rafizi berkata isu PFN tidak akan selesai dengan hanya membayar balik pinjaman sebanyak RM250 juta kepada kerajaan.

"Yang itu hanyalah jalan politik untuk memendekkan isu ini. Sekali pandang nampak macam terlalu mudah, ada risiko berlaku sekali lagi (penyelewengan)," ujarnya.

Pada Ahad lalu, Mohamed Nazri dalam satu kenyataannya menasihati Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agar membayar balik pinjaman kerajaan yang diberikan kepada syarikat milik suami dan anaknya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain