suria

Program 6P Dilanjut 10 April

PUTRAJAYA: Proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) akan dilanjutkan sehingga 10 April ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam pada Selasa.

Beliau berkata proses pemutihan yang mula dilaksanakan secara pentadbiran sejak 11 Jan lepas sepatutnya berakhir esok (15 Februari).

"Kerajaan hari ini menetapkan bahawa proses pemutihan Program 6P akan tamat sepenuhnya pada 10 April dan sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk melanjutkan tarikh itu tidak akan dilayan.

"Kerajaan membuat keputusan itu selepas menimbang permohonan majikan, persatuan serta kumpulan peniaga kecil untuk membolehkan mereka menyediakan dokumen diperlukan, khususnya passport perjalanan pekerja asing tanpa izin yang diproses pejabat kedutaan negara masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini.

Dengan lanjutan tarikh itu, Mahmood menyaran majikan yang belum mengemukakan permohonan bagi pemutihan pekerja tanpa izin masing-masing supaya segera berbuat demikian kerana operasi penguatkuasaan besar-besaran akan digerakkan di seluruh negara sebaik tamat tempoh nanti.

Sehingga semalam, sejumlah 379,020 pentang tanpa izin membabitkan 33,053 majikan telah diputih dan diampunkan, termasuk 94,856 yang telah pulang ke negara masing-masing. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain