suria

PGM Wilayah Dua Gagalkan Cubaan Seludup 29,850 Liter Diesel

JOHOR BAHRU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua menggagalkan cubaan menyeludup lebih 29,000 liter minyak diesel selepas menahan sebuah kapal tangki dan dua lori tangki di kawasan Sungai Santi, Kampung Lepau, Pengerang, dekat Kota Tinggi, awal pagi Rabu.

Komander PGM Wilayah Dua, Asisten Superitendan Zainul Abidin Hasan berkata, penahanan dilakukan oleh seorang pegawai dan lapan anggota PGM yang melakukan rondaan 'Ops Pensura' di kawasan berkenaan kira-kira pukul 3 pagi.

"Ketika ditahan, salah satu daripada lori tersebut sedang menjalankan aktiviti pemunggahan minyak diesel ke kapal tersebut manakala satu lagi sedang menunggu giliran untuk aktiviti sama.

"Pemeriksaan mempercayai sejumlah 29,850 liter minyak diesel sudah dimuatkan ke dalam kapal tersebut," katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Zainul Abidin berkata, pihaknya menahan empat lelaki warga Indonesia termasuk kapten kapal serta dua pemandu lori warga India berumur antara 32 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Pengerang sebelum diserahkan kepada kastam, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain