suria

PDRM Tahan Warga Iran Yang Mempunyai Kaitan Dengan Letupan Bom Di Bangkok

KUALA LUMPUR: Polis pada Rabu menahan seorang rakyat Iran yang dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa siri pengeboman di Bangkok, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata, lelaki Iran itu ditahan mengikut Akta Imigresen Malaysia pada 3.30 petang ini "berdasarkan risikan yang disediakan oleh rakan sejawatan di Thai."

"Dia disiasat kerana aktiviti keganasan yang berhubung kait dengan pengeboman di Thailand," kata beliau dalam kenyataan tiga perenggan yang dikeluarkan di sini.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berwaspada dan bersiap siaga terhadap tiga rakyat Iran yang dipercayai terbabit dalam serangan di Bangkok untuk membunuh diplomat Israel namun percubaan itu gagal dan dipercayai melarikan diri ke Malaysia. PDRM, dengan kerjasama Interpol memantau kes itu sejak insiden itu berlaku pada Selasa.

Menurut laporan agensi media antarabangsa, pihak berkuasa Thai menahan dua warga Iran berhubung beberapa siri letupan di Bangkok pada Selasa.

Salah seorang lelaki itu, yang dikenal pasti sebagai Saeid Morati, 28, berdasarkan pasport yang ditemui padanya, hilang kedua-dua belah kaki apabila dia cuba melempar bahan letupan ke arah polis Thai ketika melarikan diri dalam kes letupan sebelum itu di sebuah rumah di Bangkok.

Seorang lagi warga Iran ditahan ketika dia cuba menaiki pesawat keluar dari Thailand.

Suspek ketiga dipercayai melarikan diri ke Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain