suria

Pasangan Kekasih Ditahan Ketika Samun Pegawai Bank

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga Colombia dan pasangannya wanita tempatan ditahan polis ketika sedang menyamun seorang pegawai bank di tepi jalan di Kampung Gajah di sini, Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata pasangan kekasih itu ditahan kira-kira 12 tengah hari oleh anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan itu ketika lelaki berusia 46 tahun berkenaan sedang bergelut dengan mangsa.

"Kejadian samun itu berlaku selepas mangsa iaitu seorang wanita berusia 37 tahun mengeluarkan wang sebanyak RM40,000 di sebuah bank di Taman Selat.

"Mangsa memandu keretanya ke arah Kampung Gajah untuk menyimpan wang berkenaan di bank lain dan dalam masa yang sama pasangan itu mengekorinya dengan sebuah kereta," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Katanya, sebaik sampai berhampiran bank di Kampung Gajah, mangsa telah memberhentikan kenderaannya di tepi jalan kerana tayar keretanya pancit dan ketika itu lelaki Colombia berkenaan menghampirinya dan mengacukan pisau sambil mengarahkan wanita itu menyerahkan wang.

Katanya, anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan itu melihat kejadian berkenaan terus memberi bantuan dan dalam masa yang sama memaklumkan kepada bilik gerakan.

Katanya, pasangan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun di sekitar Pulau Pinang dan dengan penahanan mereka polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun di negeri ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki pasangan itu, polis menemui pelbagai barangan yang digunakan untuk kegiatan jenayah antaranya topeng muka, topi dan pisau.

"Kita turut merampas sejumlah wang pelbagai mata wang dan empat buah telefon bimbit, pemeriksaan juga mendapati pasport lelaki warga Colombia berkenaan telah tamat tempoh sejak setahun lepas," katanya. Katanya, pasangan itu menggunakan kereta sewa syarikat pelancongan untuk menjalankan kegiatan samun dan modus operandi mereka ialah mengekori mangsa yang mengeluarkan wang dari bank dan menyamun mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita tempatan berusia 43 tahun itu mempunyai rekod jenayah mencuri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain