suria

Nasihat Dr M Kepada Shahrizat: Semua Ahli Politik Ambil Perhatian – Syed Ali

PETALING JAYA: Datuk Syed Ali Alhabshee meminta semua ahli politik mengambil perhatian terhadap kredibiliti masing-masing sekiranya di kalangan mereka dibelenggu oleh sesuatu isu.

Ketua Umno Bahagian Cheras itu mengulas kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu yang menasihatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agar “jangan sayang kepada jawatan.”

Nasihat Dr Mahathir itu ekoran kemelut yang melanda Pusat Fidlot Nasional (PFN) yang membabitkan suami dan anak-anak Shahrizat.

Syed Ali yang menjadikan Shahrizat sebagai contoh berkata, peletakan jawatan bukannya bermaksud diri seseorang anggota kabinet itu bersalah.

“Jika mengikut undang-undang, Shahrizat mungkin tidak bersalah dalam hal ini (PFN) tetapi jika dilihat secara dasar politik, ia melibatkan kabinet.

“Ini kerana beliau masih menjadi menteri dan PFN mempunyai kaitan dengan suami dan anak-anaknya. Beliau patutnya tahu bila perlu meninggalkannya (kabinet),” katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Syed Ali sebelum ini beberapa kali menggesa Shahrizat agar meletakkan jawatan sebagai menteri dan mempersoalkan kenapa Ketua Wanita Umno itu terlalu sayangkan jawatannya itu.

“Orang politik biasanya bila sudah ada jawatan, susah hendak lepaskan. (Sharizat) lepaskanlah jawatan (menteri) itu. Beliau masih ada jawatan sebagai Ketua Wanita Umno kerana masih mempunyai sokongan daripada ahli-ahlinya,” katanya.

Syed Ali bagaimanapun berkata, gesaan supaya Sharizat meletakkan jawatan sebagai menteri itu bukan disebabkan terdapat pihak yang hendak menjatuhkan menteri itu.

“Saya tak mahu semua pihak salah anggap. Saya bukan mahu bermusuh atau mahu merampas kerusi di Parlimen. Saya tak mahu jawatan.

“Saya cuma sayangkan parti. Dan saya sememangnya bersuara dengan lantang sekiranya terdapat apa-apa yang tidak baik berlaku dalam parti.

“Saya lakukan demi kebaikan parti. Itu sahaja. Jangan salah faham,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, Shahrizat harus mengambil tindakan sewajarnya demi kepentingan parti dan perlu memberi keutamaan itu ketika membuat sebarang keputusan.

"Saya tak suruh dia meletak jawatan tetapi kita harus sentiasa fikir berkenaan masalah yang kita timbul kepada parti. Sebab itu, saya sendiri pun bila dah terlalu lama dan orang dah naik bosan, saya pun letak jawatan.

"Jadi, janganlah sayang jawatan sangat sampai tidak mahu langsung dipisahkan daripada jawatan. Satu hari kita kena pisah juga," kata Dr Mahathir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain