suria

Wanita Ditahan Cuba Rasuah Polis RM1,900 Di Kelantan

BACHOK: Seorang wanita cuba merasuah anggota polis bagi melepaskan suaminya daripada ditahan kerana disyaki memiliki dadah seberat 31 gram di Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Supt Amran Ramli berkata dalam serbuan ke sebuah rumah di kampung itu petang semalam, polis menemui dadah jenis heroin yang dianggar bernilai RM21,000.

"Isteri suspek cuba merasuah anggota kami sebanyak RM1,900 bagi melepaskan suaminya daripada ditahan kerana memiliki dadah seberat 31 gram," katanya.

Beliau berkata suami wanita terbabit yang berumur 39 tahun dan bekerja sendiri itu ditahan mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Wanita itu pula diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut, katanya kepada pemberita di Balai Polis Gunong di sini, Selasa.

Sementara itu, seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun adalah antara 168 orang yang ditahan kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam Operasi Tapis Bersepadu di sini.

Polis turut merampas 58 biji pil kuda dipercayai untuk pasaran tempatan, katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kesemua 168 yang ditahan itu positif dadah jenis Metaphetamin.

Operasi yang bermula petang Isnin hingga hari ini (Selasa) di dua kawasan tumpuan iaitu Bekelam dan Kampung Kuchelong itu melibatkan 110 anggota polis bersama 16 pegawai dari seluruh negeri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain