suria

Tempoh Kuat Kuasa Had Persaraan Sektor Swasta Mungkin Diteliti - MTUC

PETALING JAYA: Tarikh kuat kuasa had persaraan pekerja sektor swasta mungkin antara isu yang masih diteliti oleh Kementerian Sumber Manusia terhadap proses akhir penggubalan Rang Undang-Undang Umur Persaraan Swasta.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan berkata, penelitian itu mungkin mengenai cadangan menaikkan had umur persaraan sehingga 64 tahun dengan had bersara mandatori 60 tahun.

Selain tarikh bagi menguatkuasakan proses tersebut, ia turut dilihat mempunyai kaitan tempoh pelaksanaan rang undang-undang itu sekiranya diluluskan.

“Dalam mesyuarat bersama kementerian baru-baru ini, kami bersetuju mengenai cadangan usia persaraan dinaikkan kepada usia 60 tahun dan penambahan sehingga 64 tahun.

“Antara perkara yang mungkin perlu diteliti mengenai rang undang-undang itu adalah tarikh untuk dikuatkuasakan dan cara-cara pelaksanaannya apabila ia digazet selepas dibentangkan di Parlimen nanti.

“Bagaimanapun, biarlah perkara itu dirunding oleh pihak kementerian dan Kabinet sebelum keputusan dibuat untuk melaksanakannya,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.

Mohd Khalid Atan diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada Selasa mengenai proses penggubalan Rang Undang-Undang Umur Persaraan Swasta yang akan dipinda bagi menaikkan had umur persaraan sehingga 64 tahun dengan had bersara mandatori 60 tahun yang sudah di peringkat akhir.

Subramaniam mengharapkan rang undang-undang itu dapat dibentangkan pada sesi sidang Dewan Rakyat yang akan bermula bulan depan untuk mendapat kelulusan setelah beberapa perkara diperhalusi.

Menurut sumber MTUC, tarikh kuat kuasa itu kemungkinan menjadi isu yang masih diteliti oleh Kementerian Sumber Manusia kerana wujud perbezaan keputusan antara pertubuhan itu dan pihak majikan mengenainya.

Difahamkan, MTUC mencadangkan supaya tempoh pelaksanaan undang-undang itu sekiranya diluluskan adalah antara tiga hingga enam bulan selepas ia digazet namun segelintir majikan meminta pelaksanaannya antara dua hingga tiga tahun.

Pada masa ini, tiada umur persaraan wajib ditetapkan bagi sektor swasta seperti sektor awam dan di bawah undang-undang baru itu, seseorang pekerja hanya akan bersara apabila mencapai usia 60 tahun.

Bagaimanapun jika khidmatnya masih diperlukan, pekerja terbabit boleh dilanjutkan perkhidmatan selama empat tahun lagi.

Dalam pada itu Mohd Khalid berkata, MTUC berharap agar kementerian dapat membentangkan rang undang-undang itu pada sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

“Ia sebenarnya melangkaui jangkaan kita bahawa ia akan diluluskan sebelum tahun ini namun kita faham semuanya bergantung pada rundingan dan persetujuan mereka.

“Proses menggubal rang undang-undang itu sudah pun di peringkat akhir maka diharapkan ia dapat dibentangkan dan diluluskan dengan segera sebelum dapat dilaksanakan dalam sektor swasta,” katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain