suria

Rang Undang-Undang Umur Persaraan Swasta Di Peringkat Akhir - Subramaniam

PUTRAJAYA: Proses penggubalan Rang Undang-undang Umur Persaraan Swasta bagi menaikkan had umur persaraan sehingga 64 tahun dengan had bersara mandatori 60 tahun, kini di peringkat akhir proses penggubalan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berharap rang undang-undang itu dapat dibentangkan pada sesi sidang Dewan Rakyat yang akan bermula bulan depan, untuk mendapat kelulusan setelah beberapa perkara diperhalusi.

"Kita di peringkat akhir proses penggubalan undang-undang. Kalau siap sebelum sesi parlimen ini, kita harap ia boleh dibentangkan nanti. Tetapi ada satu dua isu yang masih kita meneliti dan memperhalusi," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Kini tiada umur persaraan wajib ditetapkan bagi sektor swasta seperti sektor awam.

Di bawah undang-undang baru itu, seseorang pekerja hanya akan bersara apabila mencapai usia 60 tahun dan jika khidmatnya masih diperlukan, pekerja terbabit boleh dilanjutkan perkhidmatan selama empat tahun lagi.

Sebelum ini Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor menyambut baik usaha kerajaan untuk melanjutkan umur persaraan kakitangan sektor swasta berjumlah lebih enam juta orang.

Terdahulu Dr Subramaniam menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Pembangunan Kemahiran dengan Persatuan Teknologi Industri Perkomputeran (CompTIA), Dewan Perusahaan dan Perindustrian London (LCCI) dan Persatuan Teknologi Malaysia (TAM). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain