suria

Pemulangan 30 Peratus Sumbangan Kepada Kedah Boleh Dianggap Rasuah

POKOK SENA: Isu pemulangan semula 30 peratus daripada jumlah bantuan yang diterima badan bukan kerajaan (NGO) di Kedah kepada kerajaan negeri dianggap rasuah sekiranya ia benar-benar berlaku.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan itu jelas bercanggah dengan undang-undang dan tidak boleh dipandang mudah.

"Kalau ikut tafsiran saya itu adalah rasuah... saya fikir kalau ada laporan polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), perlu buat siasatan mendalam.

"Terbukti jelas bahawa walaupun mereka (kerajaan negeri) menentang rasuah tetapi mereka mengamalkan rasuah," katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Rakyat di Perkampungan Keda Batu 13 di sini, Selasa. Beliau mengulas kenyataan Pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew yang mendakwa lapan NGO di negeri ini memaklumkan kepada pihaknya mengenai pemulangan balik atau rebet antara 25 dan 30 peratus daripada jumlah bantuan yang disalurkan.

Chong berkata anggota Exco kerajaan negeri Tan Chow Kang juga mengaku setiap NGO yang bersetuju menerima sumbangan daripada peruntukan kerajaan, Exco atau wakil rakyat hendaklah memulangkan balik 30 peratus kepada pihak-pihak tertentu.

Muhyiddin berkata sekiranya dakwaan berkenaan adalah benar ia juga membuktikan bahawa PAS adalah parti rasuah.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika mengulas mengenai dakwaan itu semalam berjanji untuk menyiasat mengenai perkara itu.

Azizan yang terkejut dengan dakwaan itu berkata ini adalah kali pertama beliau mendengar tentang isu berkenaan dan memberitahu bahawa semua dana yang diperuntukkan kepada NGO dikendalikan oleh unit kewangan negeri, dan bukan melalui wakil-wakil Pakatan Pembangkang.

Terdahulu Muhyiddin dalam ucapannya pada majlis itu mengumumkan peruntukan untuk pembinaan kantin baru Sekolah Kebangsaan Teluk Jamat sebanyak RM300,000, membina masjid baru di Kampung Nawa, dekat sini.

RM1.8 juta, baik pulih Sekolah Kebangsaan Kampung Bukit RM300,000, baik pulih Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Barathy di Jabi RM30,000, baik pulih masjid Kampung Panchor di sini RM200,000 dan baik pulih surau Kampung Lancuk Tok Lit di sini RM100,000. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain