suria

Pelajar IPT Perlu Hargai Sumbangan Kerajaan - Isa Sabu

KANGAR: Pelajar institusi pengajian tinggi perlu menghargai dan menghayati sumbangan murni kerajaan dalam pembangunan ilmu supaya tidak terjebak perangkap golongan buta sejarah dan mereka yang tidak bersyukur, kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Beliau berkata pelajar adalah antara kumpulan berpengaruh dengan demikian mereka sering dipergunakan oleh pihak tertentu yang mempunyai cita-cita politik peribadi mereka sendiri.

Berucap pada majlis makan malam dan penutup Program Kayuhan Amal Anak Merdeka 1Malaysia 2012 di sini malam tadi, Md Isa berharap para pelajar membuat penilaian bijak apabila disogokkan unsur kebencian terhadap negara dan kerajaan.

Beliau mengimbau pengalaman silamnya sebagai pelajar universiti bagaimana seorang pemimpin yang ingin menonjolkan dirinya telah mencipta isu dalam mendapatkan sokongan peribadi sedangkan isu yang hendak diperjuangkan itu tidak wujud.

Menteri Besar itu yakin pelajar institusi pengajian tinggi yang sentiasa menghayati perjalanan sejarah negara tidak akan terpengaruh dengan apa juga cubaan untuk memikat mereka menyertai perjuangan yang merugikan.

Sementara itu, kira-kira 100 peserta program itu menamatkan kayuhan berbasikal amal mereka sejauh lebih 1,000 kilometer dari Johor ke Perlis pada Isnin.

Ketua Unit Perhubungan dan Sekretariat program, Alifah Azman berkata program anjuran Kolej Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu memulakan kayuhan mereka pada 5 Februari lalu.

Mereka bermula di kampus UTM Skudai dan berakhir di kolej kediaman Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kuala Perlis petang Isnin.

Peserta program terdiri para pelajar UTM, anggota-anggota Gerakan Belia 4B Malaysia negeri Johor dan alumni, kakitangan UTM dan daripada institusi pengajian tinggi yang lain.

Sepanjang perjalanan, mereka mengadakan kegiatan amal memperkenalkan UTM kepada masyarakat setempat di samping mengumpul sumbangan untuk rakyat Palestin yang tertindas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain