suria

Jangkitan AGE Di Perak Meningkat

IPOH: Jangkitan akut gastroenteritis (AGE) yang dikesan di Perak sejak minggu lepas meningkat kepada 251 kes hari ini berbanding 131 kes semalam iaitu, peningkatan sebanyak 120 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata 180 kes dikesan di Hilir Perak hari ini manakala 71 kes di Batang Padang.

Bilangan kes baru yang dimasukkan ke wad hari ini adalah dua orang di Hilir Perak dengan jumlah enam kes, manakala empat kes di Batang Padang dengan jumlah sembilan kes, katanya kepada pemberita pada Selasa.

Jumlah pesakit yang di rawat di hospital ialah 15 orang.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan di Hilir Perak setakat ini adalah 1,990 kes manakala Batang Padang mencatatkan 1,078 kes.

Jumaat lepas, dua bayi masing-masing berusia dua bulan dan 10 bulan meninggal dunia di daerah Hilir Perak dipercayai akibat dijangkiti sejenis virus dikenali "Rotavirus" yang menyebabkan kes AGE. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain