suria

Ismail Sabri Minta Pembangkang Tolak Bantuan Jika Anggap Ia 'Rasuah'

BERA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika pembangkang menganggap semua bantuan termasuk barang bersubsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat selama ini adalah "rasuah", mereka perlu menolaknya.

"Belilah barang seperti minyak, gula dan lain-lain dengan harga tanpa subsidi," katanya ketika menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada penduduk di kawasan Parlimen Bera di sini Selasa.

Beliau adalah Anggota Parlimen Bera.

Katanya, pelbagai bantuan termasuk BR1M diberikan oleh kerajaan bertujuan meringankan beban rakyat dan bukannya satu bentuk rasuah untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ismail Sabri berkata, kerajaan membelanjakan hampir RM20 bilion setahun bagi subsidi barang manakala RM2.5 bilion adalah untuk BR1M.

Mengenai kenaikan harga barang, beliau berkata, ia tidak dapat dielakkan akibat daripada pertambahan penduduk serta negara pengeluar bahan makanan utama dilanda bencana alam termasuk banjir dan gempa bumi menyebabkan pengeluaran barang makanan terjejas.

Malaysia katanya, bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang bencana.

"Pengurusan ekonomi yang cekap dan baik pula membolehkan kerajaan melaksanakan pembangunan dan membantu rakyat," katanya.

Ismail Sabri berkata, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain yang kukuh ekonomi sebelum ini, kini dilanda kegawatan kesan perubahan ekonomi global sekarang.

"Namun negara kita masih bernasib, ekonominya kukuh, malah semakin baik," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain