suria

Bapa Bi-Anne Dapat Hak Penjagaan Penuh

Mahkamah Tinggi pada Selasa memberikan hak penjagaan penuh kepada kanak-kanak perempuan, Low Bi-Anne, 13, kepada ayahnya Low Swee Siong selepas empat tahun merebut hak penjagaan anak tersebut.
Mahkamah Tinggi pada Selasa memberikan hak penjagaan penuh kepada kanak-kanak perempuan, Low Bi-Anne, 13, kepada ayahnya Low Swee Siong selepas empat tahun merebut hak penjagaan anak tersebut.
Mahkamah Tinggi pada Selasa memberikan hak penjagaan penuh kepada kanak-kanak perempuan, Low Bi-Anne, 13, kepada ayahnya Low Swee Siong selepas empat tahun merebut hak penjagaan anak tersebut.

KUALA LUMPUR: Pertarungan yang berlarutan empat tahun bagi merebut hak penjagaan ke atas seorang gadis sunti berakhir dan selesai pada Selasa dengan keputusan menggembirakan buat Low Bi-Anne bila bapanya diberikan hak penjagaan penuh.

Dengan mengenakan gaun berwarna cerah berlapiskan jaket hitam, gadis berusia 13 tahun itu berkata ia cukup gembira dengan keputusan mahkamah itu.

"Saya amat gembira dan akan menyertai jamuan malam Hari Valentine dengan bapa saya," kata Bi-Anne selepas mahkamah membuat keputusan mengenai permohonan bagi perintah pengubahan difailkan oleh bapanya.

Keputusan itu dibuat selepas Bi-Anne diinterbiu oleh Hakim Mahkamah Keluarga (Mahkamah Tinggi) Datin Yeoh Wee Siam di kamar beliau pada Selasa.

Dalam permohonan bagi perintah pengubahan, Low, seorang perunding hartanah, telah memohon bahawa beliau, antara lain, diberikan hak keibubapaan, penjagaan dan kawalan penuh ke atas Bi-Anne, dan bekas isteri beliau diberikan akses munasabah terhadap anaknya, sebagaimana mengikut keinginan gadis itu.

Peguam Low, Pushpa Ratnam, memberitahu media bahawa hakim membenarkan hak akses kepada ibu Bi-Anne, Tan Siew Siew.

Pushpa berkata Tan boleh juga menghubungi Bi-Anne menerusi telefon, e-mel dan Skype. "Semua akses bergantung kepada keinginan Bi-Anne, mengikut mana yang ia selesa," kata Pushpa.

Tan atau peguamnya tidak hadir di mahkamah pada Selasa.

Pada 22 April tahun lepas, Mahkamah Rayuan memberikan Low akses sementara sepenuh masa terhadap gadis itu hingga keputusan mengenai permohonan bagi perintah pengubahan dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

Permohonan itu bagi mengubah perintah Mahkamah Tinggi Ogos 2008 yang memberikan hak penjagaan Bi-Anne kepada Tan.

Low, 42, dan Tan, 39, seorang pengurus restoran di London, berkahwin pada 1999.

Mereka bercerai pada 2006, dan hak penjagaan Bi-Anne diberikan kepada si bapa.

Dua tahun kemudian, Tan memohon hak penjagaan dan menang, sementara Low diberikan akses munasabah.

Bagaimanapun, Bi-Anne enggan bersama ibunya dan tetap mahu tinggal bersama bapanya.

Pada 13 Sept 2010, Low dipenjara sehari bila tidak sempat membayar denda RM20,000 setelah kaunter mahkamah ditutup pada 4.30 petang.

Beliau didenda RM20,000 kerana menghina mahkamah setelah beliau gagal menyerahkan anaknya itu kepada bekas isterinya sebagaimana diarahkan oleh Mahkamah Tinggi.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain