suria

Bantahan Awal Kerajaan Malaysia Terhadap Habeas Corpus Kolumnis Arab Saudi Didengar 22 Februari

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan mendengar 22 Februari ini bantahan awal kerajaan Malaysia terhadap permohonan habeas corpus yang difailkan kolumnis akhbar Arab Saudi, Hamza Kashgari Mohamad Najeeb, yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Bantahan awal itu dikemukakan oleh empat responden iaitu Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas berjumpa peguam Fadiah Nadwa Fikri yang mewakili Hamza dan Peguam Kanan Persekutuan Amir Nasruddin dan Mohd Zain Ibrahim yang mewakili responden.

Fadiah ketika ditemui pemberita berkata mahkamah turut mengarahkan pihak responden memfailkan afidavit jawapan berhubung permohonan habeas corpus itu sebelum Rabu depan.

Semalam, Hamza, 23, menfailkan permohonan habeas corpus itu melalui kawannya, Asma' Abdul Razak antara lain memohon supaya mahkamah memutuskan sama ada penahanan, penangkapan dan penghantaran Hamza ke Arab Saudi adalah sah atau tidak. Dalam notis usul itu, Hamza juga memohon writ habeas corpus supaya mahkamah ini mengeluarkan perintah untuk membawanya ke mahkamah sepanjang perbicaraan habeas corpus itu.

Asma', 31, dalam afidavit yang difailkan bersama-sama permohonan itu berkata pada 4 Feb lepas, Hamza telah menghantar pesanan melalui akaun Twitternya sempena Hari Kelahiran Nabi Muhammad SAW, bagaimanapun pada keesokannya Hamza telah memadam puisi berkenaan di laman sosialnya. Asma' berkata pada 8 Februari lepas, pihak berkuasa Arab Saudi telah mengeluarkan waran tangkap terhadap pemohon atas tuduhan murtad kerana menghina Nabi Muhammad SAW dan dia juga diisytiharkan murtad oleh Majlis Ulama Besar negara itu, dan sekiranya didapati bersalah, akan dijatuhkan hukuman bunuh.

Hamza ditangkap pada 9 Februari lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), yang mana pada ketika itu dia dijadualkan dalam perjalanan ke Auckland, New Zealand. Menurut laporan akhbar, Hamza telah dihantar pulang ke Arab Saudi, Ahad lepas melalui KLIA dengan diiringi beberapa pegawai dari negara itu, pada pukul 3 petang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain