suria

APMM Wilayah Selatan Tahan Dua Kapal Pindah Minyak

JOHOR BAHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan dua kapal asing dipercayai cuba memindahkan 130,000 liter minyak secara haram di perairan Pengerang, Kota Tinggi di sini Ahad lalu.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 7, Kapten Maritim Rozali Mohamed Said berkata semasa operasi dijalankan lebih kurang 2.55 pagi, bot laju milik APMM telah mengesan dua kapal yang berhimpit antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 2.5 batu nautika Selatan Tanjung Stapa.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, kru kapal Urban Lima sedang leka memindahkan 130,000 liter minyak patrol ke MT 18 Heaven dan semasa ditahan mereka telah pun memindahkan 56,741 liter.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kapten kedua-dua kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kapal MT Urban Lima yang didaftarkan Sierra Leone dan MT 18 Heaven yang didaftarkan di Malabo, Equatorial Guinea, kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Turut ditahan 22 kru warga Indonesia dan seorang rakyat Malaysia, yang berumur antara 24 hingga 63 tahun.

Menurut Rozali sampel minyak telah pun diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Johor untuk pengesahan status minyak tersebut.

Pemilik kedua-dua kapal boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran.

Jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain