APMM Tahan Dua Kapal Pindah Minyak Secara Haram - Semasa | mStar

APMM Tahan Dua Kapal Pindah Minyak Secara Haram

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan dua kapal asing dipercayai cuba memindahkan 130,000 liter minyak secara haram di perairan Pengerang, Kota Tinggi di sini, awal pagi Selasa.

Penahanan dua kapal asing itu menerusi Operasi Perkasa Selatan yang dijalankan bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim di perairan Johor Timur.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 7, Kapten Maritim Rozali Mohamed Said, berkata ketika operasi dijalankan kira-kira jam 2.55 pagi, bot laju milik APMM mengesan dua kapal yang berhimpit antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 2.5 batu nautika Selatan Tanjung Stapa, Pengerang Kota Tinggi.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, anak kapal Urban Lima sedang leka memindahkan 130,000 liter minyak patrol ke MT 18 Heaven, ketika ditahan mereka sudah memindahkan 56,741 liter.

“Pemeriksaan lanjut mendapati Kapten kedua-dua kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Kapal MT Urban Lima didaftarkan Sierra Leone, manakala MT 18 Heaven didaftarkan di Malabo, Equatorial Guinea, kini ditahan untuk siasatan lanjut. Turut ditahan 22 anak kapal warga Indonesia dan seorang rakyat Malaysia berumur antara 24 hingga 63 tahun,” katanya di sini.

Rozali berkata, ketika ini sampel minyak petrol diambil untuk hantar ke Jabatan Kimia, Johor bagi mengesahkan status minyak itu. “Pemilik kedua-dua kapal boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran. Jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Real Madrid menabung awal demi Mbappe