suria

Tujuh Lelaki Ditahan, Syabu Bernilai RM4 Juta Dirampas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket dadah jenis syabu yang menjadikan sebuah kondominium mewah di Jalan Dutamas di sini sebagai makmal memproses bahan itu serta merampas syabu bernilai RM4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata empat warga Iran dan tiga lelaki tempatan berumur 22 hingga 51 tahun turut ditahan dalam serbuan berasingan Isnin lepas.

"Dalam serbuan pertama di kondominium di Changkat Kiara Bayu, Jalan Dutamas Melor, polis merampas syabu berbentuk kristal seberat tujuh kilogram, 13kg cecair syabu, pelbagai bahan kimia seperti Acetone dan peralatan untuk memproses dadah. Tiga lelaki Iran diberkas," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata susulan penahanan itu, seorang lagi lelaki Iran ditahan di sebuah rumah di sekitar ibu kota dan polis merampas 25kg dadah prekursor ephedrine, iaitu bahan utama yang diperlukan untuk membuat dadah syabu.

"Tiga lagi lelaki tempatan yang dipercayai ditugaskan untuk mengedar dadah itu turut diberkas pada hari yang sama," katanya.

Noor Rashid berkata salah seorang warga Iran dan dua lelaki tempatan itu ditahan ketika baru sahaja beberapa bulan dibebaskan dari Pusat Tahanan Simpang Renggam, Muar.

"Mereka ditahan di bawah undang-undang Pencegahan Akta Dadah Berbahaya (LLPK) pada 2010. Kita percaya mereka berkenalan di sana sebelum merancang memproses dan mengedar dadah sejurus dibebaskan," katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati ada di antara mereka mempunyai lebih 10 rekod jenayah lampau iaitu berkaitan samun, pengedaran dadah dan lain-lain lagi dan kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita percaya keempat-empat warga Iran yang masuk ke negara ini menggunakan visa pelancongan itu memproses dadah syabu tersebut manakala tiga lagi lelaki tempatan membantu mengedarkannya," katanya.

Mengulas mengenai ephedrine, Noor Rashid berkata bahan utama untuk membuat syabu itu kebanyakannya datang dari India menggunakan pelabuhan laut.

"Kalau tak ada bahan ini, syabu tidak boleh terhasil. Ia mungkin dikepilkan dengan barangan perhiasan lain seperi inai sebelum masuk ke negara ini. Harganya juga mahal, iaitu RM25,000 untuk satu kilogram," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain