suria

Suruhanjaya Diraja Tidak Perlu Untuk Siasat Dakwaan Skandal Pasir - Abdul Khalid

SHAH ALAM: Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan skandal penyelewengan pasir di Selangor tidak perlu diadakan, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ini kerana pihaknya telah membuat pengumuman mengenai prestasi pengurusan syarikat monopoli perlombongan pasir di Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), sebelum ini yang dirasakannya dilakukan secara telus.

"Suruhanjaya Diraja adalah untuk mencungkil maklumat tetapi kita sudah ada maklumat, jadi tidak payahlah cungkil lagi.

"Malahan cerita yang didakwa oleh pengendali blog itu (Raja Petra Kamaruddin) adalah cerita lama," katanya mengulas desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan pengendali portal MalaysiaToday, Raja Petra, yang mengaitkan kematian seorang ahli perniagaan dengan skandal penyelewengan pasir di Selangor.

Abdul Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan jabatan-jabatan kerajaan negeri Selangor di sini, Isnin.

Terbaru, Raja Petra turut mendedahkan pembabitan dua wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dalam skandal rasuah pasir tersebut.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan tetap merobohkan Asrama Toh Puan Norashikin dan Tun Dr Ismail di Kampung Pandan, Kuala Lumpur masing-masing milik Yayasan Selangor (YS) bagi membangunkan lokasi berkenaan (untuk pembangunan komersial) dan telah mengambil kira penempatan semula para pelajar asrama-asrama terbabit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain