suria

Mayat Lelaki Lari Daripada Serbuan Polis Ditemui

TEMERLOH: Mayat seorang lelaki yang dipercayai mati lemas selepas terjun ke dalam paya ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis petang semalam ditemui pada pukul 10.45 pagi Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Supt Zundin Mahmood berkata ketika serbuan Ops Dadu itu, mangsa, Azis Suhor, 49, dari Kampung Paya Keladan di sini bersama-sama 29 lagi rakannya terbabit dalam aktiviti judi sabung ayam di kawasan semak di kampung itu.

Katanya, kesemua mereka ketika itu berada di sebuah bangsal sedang leka memerhatikan ayam jantan bersabung bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran polis dalam serbuan pukul 5.45 petang itu.

Menurutnya dalam cubaan melarikan diri itu ada di antara mereka yang berlanggar sesama sendiri dan ada yang terjun ke dalam paya berhampiran.

"Mereka yang terjun ke dalam paya kemudiannya menyerahkan diri selepas berjaya dipujuk oleh anggota polis dan kita dimaklumkan bahawa ada seorang suspek dipercayai lemas," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Zundin berkata polis dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung mencari mangsa namun dia gagal ditemui sehingga operasi mencari dihentikan lewat petang semalam dan diteruskan pagi tadi.

Beliau berkata dalam serbuan itu seramai 29 suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan kerana dipercayai aktif melakukan kegiatan judi sabung ayam pada setiap hujung minggu.

Pihak polis katanya turut merampas 17 ekor ayam jantan, sebuah kotak kecil berisi ubat-ubatan dan peralatan jahitan, alat pemotong, taji tiruan, gunting, pelekat, kelambu ayam, sebuah generator dan beberapa lagi peralatan berkaitan judi sabung ayam.

Menurutnya kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 7(1) Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 44 Ordinan Binatang 1953. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain