suria

Kolumnis Arab Saudi Fail Habeas Corpus

KUALA LUMPUR: Kolumnis akhbar Arab Saudi, Hamza Kashgari Mohamad Najeeb, yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW hari ini memfailkan permohonan habeas corpus supaya mahkamah memutuskan sama ada penahanan, penangkapan dan penghantarannya ke Arab Saudi adalah sah atau tidak.

Rakannya, Asma' Abdul Razak yang mewakili warga Arab itu memfailkan permohonan itu melalui peguam Muhammad Afiq Mohamad Noor dan Murni Hidayah Anuar dari Tetuan Kesavan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Hamza, 23, selaku pemohon menamakan Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia, masing-masing sebagai responden pertama hingga keempat.

Dalam notis usul itu, Hamza antara lain memohon writ habeas corpus supaya mahkamah mengeluarkan perintah untuk membawa dan menghadapkannya ke mahkamah bagi tujuan perbicaraan.

Asma', 31, dalam afidavit yang difailkan bersama-sama pemohonan itu berkata pada 4 Februari lepas, Hamza telah menghantar pesanan melalui akaun twitternya sempena Hari Kelahiran Nabi Muhammad SAW, bagaimanapun pada keesokannya Hamza telah memadam puisi berkenaan di laman sosialnya.

Asma' berkata pada 8 Februari lepas, pihak berkuasa Arab Saudi telah mengeluarkan waran tangkap terhadap pemohon atas tuduhan murtad kerana menghina Nabi Muhammad SAW dan dia juga diisytiharkan murtad oleh Majlis Ulama Besar negara itu, dan sekiranya didapati bersalah, akan dijatuhkan hukuman bunuh.

Hamza ditangkap pada 9 Februari lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), yang mana pada ketika itu dia dijadualkan dalam perjalanan ke Auckland, New Zealand.

Murni ketika ditemui pemberita memaklumkan bahawa Hamza, kini berada di dalam tahanan polis di Arab Saudi.

Menurut laporan, Hamza telah dihantar pulang ke Arab Saudi pada 3 petang semalam dengan diiringi beberapa pegawai dari Arab Saudi.

Murni memberitahu pemberita bahawa prosiding pendengaran penuh bagi permohonan habes corpus akan didengar esok. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain