suria

Kes Culik Remaja Lelaki Di Semenyih Selesai

SHAH ALAM: Polis dapat menyelesaikan kes seorang remaja lelaki 14 tahun yang diculik di Semenyih baru-baru ini berikutan tertangkapnya seorang lelaki berumur 26 tahun di Perak, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata remaja lelaki berkenaan dilaporkan diculik pada 6 Februari lepas dan seorang lelaki menghubungi keluarga mangsa serta meminta wang tebusan berjumlah RM50,000.

Beliau berkata hasil siasatan, polis menjejaki dan menahan suspek terbabit di Teluk Intan, Perak. "Kita tahan suspek kira-kira pukul 10.30 pagi pada 11 Feb dan merampas beberapa barangan termasuk sebuah kereta, kamera, beg sandang, telefon bimbit, beg duit, kad ATM, kad pengenalan seorang wanita dan kunci kereta.

"Kita percaya dengan tertangkapnya suspek, kes ini telah selesai dan suspek ditahan reman sehingga 18 Februari ini," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mohd Adnan berkata mangsa juga diselamatkan dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, polis turut merampas sehelai seluar menyerupai pakaian seragam polis dan sebuah kad pengenalan perakuan polis palsu.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain