suria

Kerajaan Timbang Bantuan Sawah Diserang Penyakit

JITRA: Mesyuarat pasca kabinet minggu lepas pada dasarnya bersetuju supaya bantuan diberikan kepada petani yang mengalami kemerosotan hasil musim lepas iaitu bagi November 2011 hingga Februari ini akibat serangan penyakit.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharom berkata formula pemberian itu juga telah dirumuskan dan akan diumumkan selepas kerajaan memberikan persetujuan.

Menurutnya lebih 500 petani yang mengusahakan hampir 400 hektar sawah di beberapa daerah di Kedah ditimpa bencana serangan ulat ratus atau nama saintifiknya 'spodoptera mauritia' tetapi tidak termasuk penyakit lain.

Ulat ratus membiak dengan cepat dan menyerang padi yang hampir masak menyebabkan ada petani kerugian 100 peratus, katanya.

Mohd Johari yang ditemui selepas melancarkan operasi kawalan ulat ratus di Kampung Ketul, Tunjang, dekat sini hari ini berkata serangan ulat ratus dan penyakit padi pada musim II/2011 menyebabkan hasil tuaian merosot 20 peratus.

"Kemerosotan itu turut disumbangkan faktor cuaca. Biasanya untuk satu musim kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) seluas 96,000 hektar menghasilkan 500,000 metrik tan padi, merosot kepada 400,000 metrik tan.

Sekiranya ada kemampuan, saya harap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan bantuan ini," katanya dengan menambah kata bahawa Mada perlu berusaha mencari jalan mengatasi penyakit padi untuk mencapai matlamat sara diri supaya negara tidak bergantung kepada pengimportan beras.

Mohd Johari berkata Mada, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan ketua-ketua unit peladang perlu bekerjasama membuat bancian supaya hanya petani yang benar-benar ditimpa serangan ulat ratus dibanci untuk dipertimbangkan bantuan.

Beliau juga memberi peringatan kepada pembekal-pembekal benih padi supaya membekalkan benih yang memenuhi spesifikasi iaitu berkualiti dan bebas penyakit atau kontrak mereka dibatalkan.

Mohd Johari melahirkan kekecewaannya dengan sikap segelintir petani yang malas mengusahakan sawah dan enggan membenarkan tanah mereka diambil untuk menaiktaraf infrastruktur terutama tali air.

"Kemerosotan hasil juga berpunca dari sikap mereka tidak menguruskan sawah dengan baik, gagal membuat pemantauan dari peringkat awal dan hanya mengambil tindakan setelah keadaan tidak terkawal," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain