suria

Jumlah Kes AGE Di Perak Menurun - MB

TAPAH: Jangkitan akut gastroenteritis (AGE) yang dikesan di Perak sejak minggu lepas mencatatkan penurunan apabila 131 kes dikesan hari ini berbanding 142 kes semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata secara keseluruhannya keadaan masih terkawal.

"Saya difahamkan jumlah kes telah berkurangan. Saya berterima kasih kepada pihak hospital yang mengendalikan kes ini dengan baik," katanya kepada pemberita selepas melawat pesakit yang dijangkiti AGE di Hospital Tapah di sini, Isnin.

Katanya punca virus dikenali sebagai 'Rotavirus' yang menyebabkan jangkitan AGE sedang disiasat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata 80 kes dikesan di Hilir Perak hari ini manakala 51 kes dikesan di Batang Padang.

Dr Mah berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan di Hilir Perak setakat ini ialah 1,810 kes manakala Batang Padang mencatatkan 1,007 kes.

Beliau berkata bilangan kes baru yang dimasukkan ke wad hari ini ialah sebanyak sembilan kes iaitu empat kes di Hilir Perak dan lima kes di Batang Padang.

Katanya jumlah keseluruhan pesakit yang masih dirawat di hospital ialah 26 kes.

Jumaat lepas, dua bayi masing-masing berusia dua bulan dan 10 bulan meninggal dunia di daerah Hilir Perak dan Batang Padang dipercayai akibat dijangkiti sejenis virus dikenali 'Rotavirus' yang menyebabkan kes AGE.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai 22 pelajar dan pensyarah kolej swasta yang positif penyakit Chikungunya selepas balik berkursus dari Pulau Pangkor baru-baru ini, beliau berkata jangkitan itu bukan berpunca dari pulau berkenaan berikutan tiada kes yang dilaporkan di kawasan itu.

"Kemungkinan besar tidak ada kaitan dengan resort di Pulau Pangkor dan saya dimaklumkan bila mereka datang (ke Pulau Pangkor) mereka sudah ada gejala demam. Mungkin dapat (penyakit) itu dari tempat lain," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain