suria

Sibu Dimajukan Dengan Pelbagai Projek Pembangunan - Taib

SIBU: Sibu akan dimajukan dengan pelbagai projek pembangunan selaras dengan kedudukannya yang terletak dalam kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score), kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Score telah dan sedang melakukan banyak pembangunan di bandar ini dan kawasan sekitarnya iaitu Mukah, Sarikei, Bintangor, Tanjung Manis, Kanowit, Kapit dan Belaga untuk tujuh tahun akan datang.

"Perpindahan ramai usahawan dan pekerja tempatan ke bandar-bandar utama lain di negeri ini telah membimbangkan penduduk kerana khuatir bandar Sibu tidak akan dimajukan lagi.

"Kerajaan negeri tidak akan membiarkan Bandar Sibu yang merupakan antara tiga bandar terbesar di Sarawak menjadi bandar mati," katanya pada majlis ramah tamah sempena Tahun Baru Cina Persekutuan Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Sarawak dan ulang tahun ke-35 Persatuan Cina Bersatu (UCA) Sibu di sini malam Sabtu.

Beliau berkata, pembangunan di Sibu dan kawasan sekitarnya penting kerana ia saling bergantung dan berkaitan antara satu sama lain.

Taib berkata, setakat ini, SCORE telah menarik pelaburan sekurang-kurangnya RM200 bilion dan boleh mencecah sehingga RM300 bilion dan kerajaan terpaksa membelanjakan RM20 bilion untuk membina prasarana di kawasan itu.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, produk hab halal di Tanjung Manis dekat sini mempunyai potensi amat besar untuk menembusi pasaran antarabangsa kerana kerana mempunyai amalan pensijilan halal yang ketat.

"Di samping itu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah mengiktiraf Sarawak sebagai tempat terbaik dan bebas daripada serangan wabak penyakit haiwan.

"Oleh itu Sarawak adalah tempat terbaik untuk memelihara ternakan dan ikan bagi menghasilkan bahan mentah menampung keperluan industri hab halal," katanya.

Katanya, pasaran produk halal dunia yang kini bernilai USD2 trilion bukan hanya tertumpu ke negara-negara Islam malah juga Amerika Syarikat dan Eropah.

Produk halal bukan hanya berdasarkan agama semata-mata tetapi ia turut melibatkan tahap standard kebersihan yang tinggi dalam pemprosesan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain