suria

Pemberian Subsidi Padi Akan Dikaji Semula:Noh

JASIN: Kerajaan akan mengkaji semula dasar pemberian subsidi padi RM248.10 satu tan kepada petani di kawasan dan di luar kawasan jelapang padi agar kedua-dua pihak sama-sama mendapat manfaat, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata terdapat kekurangan atau berat sebelah dalam dasar tersebut dari segi pembayaran subsidi terutama kepada petani di luar kawasan jelapang padi.

"Pada masa ini, petani di kawasan jelapang mendapat subsidi mengikut keluasan sawah yang diusahakan di mana mereka dibayar RM248.10 setiap tan padi dihasilkan berbanding petani di luar kawasan hanya dibayar tidak melebihi 2.4 hektar keluasan sawah untuk setiap tan padi yang dihasilkan.

"Saya akan mengetengahkan perkara ini untuk dikaji semula supaya memberi keadilan kepada kedua-dua pihak kerana petani sepatutnya dibayar subsidi secara telus tanpa perbezaan sama ada mereka di kawasan jelapang atau di luar kawasan," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke projek pertanian di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai, di sini, Ahad.

Noh berkata kementeriannya sedang giat meningkatkan penghasilan padi beras wangi sekurang-kurangnya di atas sawah berkeluasan 40 hektar di luar kawasan jelapang pada tahun ini.

Penghasilan di bawah projek permulaan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) kementerian itu menumpukan kepada dua jenis padi iaitu 'basmati' dan 'jasmine'.

Menurutnya, pada tahun ini projek tersebut bermula di Maran, Pahang, di atas sawah seluas 20 hektar dan kementeriannya bercadang menjalankan projek tersebut di keluasan 20 hektar sawah lagi di Jasin, Melaka.

"Di Melaka belum ada projek ini, jadi kita kena berbincang dengan pihak Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Pertubuhan Peladang tentang kesesuaian masa untuk memulakannya.

"Namun ia bergantung kepada persetujuan petani di sini memandangkan kementerian memang mempunyai peruntukan untuk melaksanakan program padi beras wangi di luar kawasan jalapang," katanya Pada tahun lepas projek yang sama berjaya dijalankan di atas tapak seluas 180 hektar di luar kawasan jelapang seperti di Langkawi, Kedah dan di Perak.

Mengulas isu dua wakil rakyat di Selangor yang terlibat dalam isu pasir, Noh berkata ia terserah kepada Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis untuk menjalankan siasatan.

"Melalui isu ini kita akan lihat ketulusan dan keikhlasan kerajaan negeri Selangor menyelesaikannya. Kalau ia dilakukan oleh pihak kerajaan pusat dan disiarkan di akhbar, mereka akan mengadakan demonstrasi dan membuat desakan.

"Jadi kita lihatlah apa tindakan atau kerjasama yang diberi oleh kerajaan negeri itu setelah pendedahan dilakukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain