suria

OKU Sempat Selamat Diri Daripada Kebakaran

SUNGAI PETANI: Setelah menyedari rumahnya terbakar, seorang wanita kelainan upaya (OKU) Faizah Adnan, 35, segera mengejutkan dua orang adiknya yang sedang tidur untuk menyelamatkan diri.

Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi tadi di Kampung Kuala Sedim, di sini rumah yang didiami Faizah lima sekeluarga musnah sama sekali.

Faizah yang hanya mampu bergerak dengan menggunakan dua tongkat memberitahu, dia hanya tersedar rumahnya terbakar setelah terpandang bumbung rumahnya sedang dijilat api yang sudah marak.

"Ketika kejadian emak dan ayah tiada di rumah kerana keluar ke majlis kenduri kahwin tidak jauh dari sini," katanya kepada pemberita.

Dia dan adik-adiknya berjaya menyelamatkan diri tanpa dapat membawa keluar apa-apa barang dari rumah.

Bapanya Adnan Ahmad, 60, berkata dia hanya mengetahui tentang kejadian itu melalui seorang jiran yang datang memberitahunya di majlis berkenaan.

"Saya terkejut dengan kejadian ini tetapi bersyukur kerana anak-anak saya terselamat dalam kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Nadzmee Syam Ahmad Jamil berkata bomba menerima panggilan kira-kira pukul 9.15 pagi dan tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian.

Katanya, 20 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan kebakaran dapat dipadamkan dalam masa setengah jam dengan bantuan 10 anggota sukarela dari unit bomba sukarela Sungai Petani. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain