suria

Mahkamah Tinggi Tolak Rayuan Pengarah JPAM Kedah Terhadap Sabitan Rasuah

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini pada Ahad menolak rayuan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kedah, Mohamad Abdullah untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM21,200 bagi kesalahan rasuah.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, tiada alasan untuknya menerima rayuan itu kerana beliau mendapati hukuman yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini tidak melampau (berat).

Sehubungan itu, beliau berkata, sabitan dan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan ke atas Mohamad kekal.

Pada 29 Julai 2010, Mohamad dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM11,200 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu bagi tuduhan pertama dan penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau empat bulan penjara bagi tuduhan kedua.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mohamad didapati bersalah memberi satu dokumen bertarikh 16 Feb 2005 kepada seorang pembantu tadbir JPAM negeri yang mengandungi butiran palsu memperakukan bahawa pembekal makanan, Mohd Roshid Hussain telah menyediakan 70 tempahan makanan untuk peserta Latihan Pertahanan Awam Unit Giat Mara Sungai Tiang berjumlah RM2,240 pada 17 hingga 20 Mac 2005, sedangkan tiada bekalan sedemikian.

Dia juga didapati bersalah melakukan perbuatan sama dengan memperakukan bahawa Mohd Roshid, 34, telah menyediakan 80 tempahan makanan untuk peserta Latihan Asas Intensif Unit Giat Mara Sungai Tiang berjumlah RM1,920 pada 19 hingga 21 Mei 2005. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain