suria

UM Perketat Syarat Kemasukan Pelajar - Dr Ghauth

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) akan memperketat syarat kemasukan pelajar baru bermula sesi pengambilan September ini, kata Naib Canselornya Tan Sri Dr Ghauth Jasmon.

Beliau berkata bagi kursus kritikal seperti perubatan, pergigian dan sebagainya, UM menetapkan pelajar lepasan matrikulasi atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) perlu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK)maksimum 4.00 manakala bagi bidang sastera perlu memperoleh keputusan 3.50.

Keputusan itu dibuat berdasarkan penganugerahan status autonomi yang diberikan kerajaan kepada beberapa institusi pengajian tinggi awam termasuk UM, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Karyawan Tamu di Galeri Seni UM di sini, Jumaat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin bulan lepas mengumumkan pemberian kuasa autonomi dalam empat bidang merangkumi urus tadbir, kewangan, sumber manusia dan pengurusan akademik serta pengambilan pelajar kepada lima buah universiti.

Universiti tersebut adalah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia. "Kita akan keluarkan satu sistem yang memberikan kebebasan kepada pihak universiti untuk tentukan kriteria pengambilan pelajar tanpa perlu mengikut kriteria Kementerian Pengajian Tinggi.

"Dengan ini kita boleh laksanakan sistem meritokrasi dengan lebih berkesan dan ini bermakna pemilihan akan lebih ketat dalam menentukan pelajar yang layak masuk ke UM sebab kita hanya mahu pelajar yang betul-betul cemerlang sahaja," kata Dr Ghauth.

Mengulas mengenai kuasa autonomi yang diberikan kerajaan, beliau melihat kebebasan yang diberikan itu sebagai satu peluang untuk menjadikan UM lebih cemerlang pada masa akan datang.

"Untuk kita cemerlang dan berjaya, itu ada syaratnya pula iaitu perlu lebih berkebolehan untuk menjana wang kerana di bawah autonomi jika kita ada wang sendiri kita boleh buat apa saja termasuk penyelidikan, membawa lebih ramai pakar seperti penerima anugerah Nobel misalnya dan sebagainya demi kecemerlangan UM," katanya.

Mengenai saingan dengan pusat pengajian tinggi awam lain dalam mendapatkan pelajar cemerlang, beliau berkata beliau yakin UM memiliki kelebihan berbanding universiti lain terutama dari segi reputasi kerana UM merupakan antara 200 universiti terbaik dunia.

Pameran selama 28 hari tu bermula pada 2 Feb lepas mempamerkan 45 hasil karya seni lukisan dari tiga orang karyawan tamu UM iaitu Juhari Said, Yusof Gajah dan Maamor Jantan. -BERNAMA

Artikel Lain