suria

Suspek Curi Kereta Cedera Ditembak

SEREMBAN: Seorang suspek yang terbabit dalam beberapa kes curi kereta termasuk kereta seorang setiausaha politik kepada seorang menteri, cedera ditembak polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Dusun Nyior, Rahang, di sini, Jumaat.

Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, suspek berusia 25 tahun ditembak di bahagian buku lali ketika cuba menyerang anggota polis dengan sebilah pisau 'Rambo'.

Ketua Polis Negeri Datuk Osman Salleh berkata ketika serbuan dilakukan terdapat dua suspek di rumah tersebut di mana salah seorang berjaya melarikan diri.

"Manakala seorang lagi cuba menyerang anggota kami menggunakan sebilah pisau 'Rambo' dan bagi mempertahankan diri salah seorang anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke bahagian kaki suspek yang terkena bahagian buku lalinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 Silat Seni Gayong dan Perdana Gayong Malaysia Sedunia 2012 Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia di padang Majlis Perbandaran Seremban di sini.

Osman berkata, suspek berkenaan yang turut mempunyai rekod jenayah lampau kini sedang ditahan dan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar di sini.

"Kita juga berjaya menemui Proton Perdana milik setiausaha politik itu yang hilang di Titi, Jelebu, baru-baru ini, di rumah berkenaan. "Siasatan terhadap suspek juga telah membawa kepada penemuan sebuah lagi kereta jenis BMW 5 Series yang dilaporkan hilang di Ulu Tiram, Johor, yang ditemui di kawasan berhampiran," katanya.

Katanya, polis juga telah mengenalpasti suspek yang berjaya meloloskan diri itu dan kini sedang menjalankan usaha mengesan lelaki berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain