suria

Premis Proses Bawang Diserbu

BUKIT MERTAJAM: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Seberang Perai Tengah (SPT) menyerbu sebuah premis dekat Jalan Hutan Petai, Machang Bubok, di sini dan merampas 3,500 kg minyak masak yang disimpan tanpa kebenaran hari ini.

Timbalan Ketua PPDNKK SPT Gurbachan Kaur Dara Singh berkata berdasarkan maklumat dan risikan, pihaknya menyerbu premis yang menjalankan perniagaan memproses bawang goreng itu pada pukul 9.45 pagi.

Katanya ketika serbuan, terdapat tujuh pekerja asing sedang bertugas di premis yang beroperasi secara haram itu.

"Hasil pemeriksaan oleh lima penguat kuasa yang menyertai serbuan itu, kita menemui 205 tong minyak masak dengan setiap satunya mengandungi 17 kg minyak.

"Siasatan juga mendapati kesemua minyak bernilai RM10,000 itu disimpan dipremis berkenaan tanpa kebenaran," katanya kepada pemberita selepas serbuan berkenaan, di sini, Sabtu. Gurbachan berkata pihaknya juga sedang menyiasat sama ada minyak masak yang disimpan itu adalah minyak subsidi atau minyak industri.

Katanya siasatan juga mendapati perniagaan yang beroperasi di premis itu sejak dua tahun lepas tidak pernah didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pemilik premis berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain