suria

Polis Rampas 2.9 Kg Syabu, 10,500 Biji Erimin

KUALA LUMPUR: Polis Brickfields menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 2.97kg dadah jenis syabu serta 10,500 biji dadah Erimin 5 bernilai RM470,000 dalam serbuan di sebuah apartment di Bukit Jalil di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata dalam serbuan pukul 2 petang itu, polis turut merampas wang tunai RM100,000, dipercayai hasil penjualan dadah.

Beliau berkata lelaki berusia 38 tahun itu kini direman sehingga Rabu depan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

"Suspek didapati positif dadah jenis methaphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Mohmad berkata dengan penangkapan suspek itu, polis percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah syabu dan pil Erimin 5 di sekitar Lembah Klang. "Polis masih menyiasat sekiranya suspek mempunyai rangkaian lain berkaitan sindiket dadah," katanya.

Sementara itu, Mohmad berkata polis sedang mengesan seorang lelaki warganegara Bangladesh bagi membantu penyiasatan kes mayat wanita asing yang dijumpai dalam satu beg besar di sebuah hotel bajet di Jalan Raja Laut pada 5 Februari lepas.

"Mayat wanita yang dipercayai warganegara Indonesia itu dijumpai tanpa dokumen dan kematiannya disyaki akibat dicekik," katanya.

Beliau berkata alamat terakhir warganegara Bangladesh itu ialah di No. 73, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. -BERNAMA

Artikel Lain