suria

MCA Pahang Tubuh Jawatankuasa Pantau Aktiviti Lynas

KUANTAN: MCA Pahang akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau operasi syarikat Lynas Advance Material Plants (LAMP) yang telah diberi lesen beroperasi sementara (TOL).

Pengerusi MCA negeri Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata jawatankuasa itu yang akan ditubuhkan bersama beberapa persatuan Cina di negeri ini, akan memastikan LAMP mematuhi lima syarat yang ditetapkan di bawah TOL tersebut.

"Kita mahu pastikan Lynas patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan supaya kesihatan dan keselamatan penduduk di Kuantan diutamakan dan tidak terjejas," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa MCA Pahang, di sini, Sabtu.

Liow yang juga Menteri Kesihatan berkata langkah itu juga akan membantu jawatankuasa khas yang ditubuhkan kementeriannya beberapa bulan lepas bagi tujuan serupa.

"Jawatankuasa (di bawah kementerian) ini mempunyai panel yang dibarisi oleh pakar kesihatan kita di mana kita melihat sama ada operasi Lynas akan membahayakan kesihatan penduduk Kuantan dan sekiranya ada kita akan keluarkan cadangan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan," katanya.

Isu Lynas yang akan mengendalikan kilang memproses nadir bumi dibangkitkan segelintir pihak atas dakwaan radiasi daripada operasi kilang itu yang dibina di Gebeng di sini, akan menjejaskan kesihatan penduduk setempat.

Selain itu, MCA Pahang juga meminta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mengemukakan langkah susulannya terhadap cadangan yang dikemukakan orang ramai yang telah meneliti dokumen permohonan TOL syarikat tersebut pada Januari lepas.

"AELB juga perlu jelaskan juga kandungan syarat-syarat lain yang diberikan kepada Lynas semasa memberikan lesen beroperasi sementara (TOL) kepada syarikat itu minggu lepas.

"Walaupun kita tahu terdapat lima peraturan yang perlu dipatuhi oleh Lynas tetapi rakyat mahu tahu sama ada pihak berkuasa akan pantau dan memastikan syarat-syarat itu dipatuhi sepenuhnya oleh Lynas," katanya.

Antara syarat tersebut ialah Lynas perlu membayar US$50 juta secara ansuran kepada kerajaan Malaysia sebagai jaminan kewangan dan menyediakan butiran mengenai kemudahan pusat pelupusan kekal.

Mengenai isu berbeza, Liow yang juga Timbalan Presiden MCA berkata beliau telah meminta semua bahagian parti merancakkan aktiviti bersama akar umbi serta mengadakan latihan dalaman sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

Artikel Lain