suria

Kes Wanita Dibunuh: Polis Temui Petunjuk Baru

KUALA LUMPUR: Polis menemui petunjuk baru dalam kes pembunuhan seorang pembantu peribadi sebuah syarikat teknologi maklumat di parkir sebuah pusat perniagaan di Seri Kembangan di sini pada 3 Februari lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berharap dengan penemuan baru itu, kes tersebut akan dapat diselesaikan dengan segera.

"Buat masa ini kita tidak dapat mendedahkan apa penemuan baru itu. Biarlah polis menjalankan siasatan untuk menyelesaikan kes ini," katanya kepada pemberita pada program "Walkabout Bersama Masyarakat" di Damansara dekat sini, Sabtu.

Wanita berumur 39 tahun itu ditemui mati berlumuran darah dengan kesan jerutan dan tikaman pada leher di dalam keretanya, kira-kira 200 meter dari tempat kerjanya.

Dipercayai wanita itu dibunuh dengan menggunakan sebilah pisau dan seutas wayar.

Sementara itu dalam kes di mana seorang lelaki dikatakan diserang beberapa kakitangan restoran makanan segera di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Thaiveegan berkata siasatan terhadap kes itu dijangka siap seminggu lagi.

"Selepas kertas siasatan siap kita akan menghantarnya ke Pejabat Peguam Negara segera untuk diambil tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 10 keterangan telah diambil dari kakitangan restoran berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana bergaduh. -BERNAMA

Artikel Lain