suria

Jangan Babitkan Kerajaan Dalam Skandal Tertentu - Muhyiddin

IPOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak supaya tidak membabitkan kerajaan berhubung skandal yang mengaitkan individu tertentu.

Beliau menasihatkan semua pihak tidak membuat andaian bahawa semua skandal yang berlaku melibatkan kerajaan.

"Tak banyak (pemimpin Barisan Nasional) yang terlibat dalam skandal. Jangan buat andaian.

"Itu pihak tertentu, individu... jangan semua dibabitkan dengan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam dan Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak di sini, Sabtu.

Muhyiddin diminta mengulas adakah wajar individu yang terlibat dengan sebarang skandal meletak jawatan dalam kerajaan.

Beliau berkata keyakinan rakyat terhadap BN tidak akan tergugat jika kerajaan secara berterusan memberi penjelasan kepada mereka tentang keadaan sebenar yang berlaku. "Kita ni manusia ada kelemahan, kalau sedar perbetulkan... rakyat pun faham bahawa kita bukan main-main dan kita serius, atas dasar itu mungkin mereka boleh terima pandangan kita," katanya.

Diminta mengulas berhubung kenyataan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa peluang untuk BN memenangi pilihan raya umum akan datang agak tipis berikutan skandal yang berlaku di kalangan individu tertentu, Muhyiddin berkata: "Kita ambil baik pandangan beliau. Kita ambil untuk lebih semangat bekerja."

Beliau berkata BN mempunyai rekod tentang kedudukan parti perikatan itu bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

"Laporan kita ini bukan berdasarkan satu dua sumber... Bagi kita Tun kata tak dapat dua pertiga (menang pilihan raya umum), kita cuba dapatkan. "Kita tahu mana kelemahan-kelemahan kita termasuk apa isunya. Itu kita tahu, masyarakat pun tahu dan banyak langkah kita buat bukan saja menyelesaikan isu dan menyelesaikan penyelewengan yang dilakukan pembangkang, banyak fitnah diputar belit sehingga rakyat terpengaruh," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain