suria

Gadis Maut, Motosikal Ditunggang Bapa Bergesel Treler

KUALA LUMPUR: Seorang gadis maut digilis sebuah treler apabila motosikal yang ditunggangi bersama bapanya bergesel dengan kenderaan itu di KM9 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 2.30 petang ketika Armiyati Ajis, 25, yang membonceng motosikal itu, dalam perjalanan ke Batu Caves dengan bapanya.

"Mangsa maut di tempat kejadian akibat digilis di seluruh badan manakala bapanya dan pemandu treler tidak cedera," katanya ketika dihubungi di sini malam Sabtu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati treler itu dipandu laju di lorong tengah laluan.

Abdul Rahim berkata mayat Armiyati dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain