Skandal Pasir: Pemuda Umno Buat Laporan Polis - Semasa | mStar

Skandal Pasir: Pemuda Umno Buat Laporan Polis

SHAH ALAM: Pergerakan Pemuda Umno dan Pemuda Umno Selangor masing-masing pada Jumaat membuat laporan polis berhubung isu dakwaan penulis blog Raja Petra Kamarudin bahawa terdapat dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat Selangor terlibat dalam skandal pasir di negeri itu.

Laporan dibuat Ketua Pemuda Umno Selangor Ungku Md Salleh Ungku Abdul Jamal dan Penolong Setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdouz Megat Junid di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 9 di sini pada pukul 3.45 petang tadi.

Ungku Md Salleh berkata dalam laporan itu, mereka turut mengemukakan salinan daripada artikel Raja Petra yang disiarkan dalam portal berita Malaysia Today.

Beliau berkata Pemuda Umno mahu pihak polis menyiasat sama ada wujud unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh dua ADUN PKR seperti didakwa Raja Petra.

Menurut laporan sebuah akhbar hari ini, Raja Petra mendakwa ADUN Sri Muda Mat Shuhaimi Shafie memohon sejumlah wang daripada sebuah syarikat untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender pasir di Selangor.

Raja Petra mendakwa ADUN Batu Caves Amirudin Shari pula mengeluarkan surat sokongan kepada permohonan tender pasir syarikat itu.

Penulis blog kontroversi itu juga mendakwa kedua-dua ADUN itu merupakan pengarah syarikat yang memohon tender pasir itu dan mereka berdua masing-masing menerima elaun bulanan RM5,000.

Ungku Md Salleh turut meminta polis menjalankan siasatan segera kes pembunuhan bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia Datuk Patrick Wong pada 2009, yang dikatakan mempunyai unsur jenayah seperti didakwa Raja Petra.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap isu pasir di negeri itu 'cerita lama' yang tidak sepatutnya dibangkitkan berikutan operasi syarikat mengendali pasir dipantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata pegawai SPRM telah dibenarkan memasuki pejabat syarikat pengendali pasir di negeri itu Kumpulan Semesta Sdn Bhd sejak 2009 untuk menjalankan sebarang siasatan sekiranya perlu.

"Semua transaksi perniagaan pasir di Selangor dipantau Transparency International dan dua pengarah bebas badan itu dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lepas," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menghalang sesiapa yang ingin memberi maklumat mengenai rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri dan anak-anak syarikat malah bersedia memberikan kerjasama, katanya.

"Kita bersedia menerima maklumat daripada orang ramai untuk membantu kerajaan negeri dan anak syarikat supaya lebih telus dan bertanggungjawab. Kita serius membanteras rasuah dan kerana itu kita telah mengambil langkah sewajarnya," katanya.

Terdahulu, Abdul Khalid merasmikan Selangor Matta Islamic Travel Fair (SMITF) yang berlangsung sehingga Ahad ini di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Beliau berkata Selangor bersedia menjadi destinasi pelancong perubatan apabila kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan Universiti Malaya untuk menubuhkan sebuah pusat pakar perubatan di Petaling Jaya.

SMITF menawarkan pakej pelancongan Islam oleh 126 peserta yang mengambil bahagian termasuk dari China, Mesir, India, Jordan, Kuwait, Oman dan Qatar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tiada Tangkapan Pelacur Warga Iraq - Polis

Artikel Berkaitan

Klik

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

Artikel Lain