suria

Skandal Pasir Di Selangor: SPRM Terima Siasatan Lengkap

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata siasatan lengkap Jabatan Peguam Negara terhadap dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Keadilan Rakyat Selangor yang didakwa terlibat dalam isu rasuah dan skandal perlombongan pasir di Selangor telah diperoleh dan akan dibentangkan kepada Panel Penilaian Operasi.

Sehubungan itu SPRM akan mengemukakan siasatan itu kepada panel berkenaan untuk mengkaji, meneliti dan mengesyorkan hasil daripada keputusan itu, katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Panel itu yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil serta dianggotai tujuh yang lain dilantik kerajaan daripada kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dan mewakili badan-badan profesional yang bersesuaian bagi memastikan SPRM menjalankan tugas dengan bebas serta telus tanpa rasa takut dan memihak.

Panel ini dijangka bersidang pada 23 Februari depan, kata kenyataan itu.

Sebelum ini penulis blog Raja Petra Kamarudin mendakwa Adun Sri Muda, Mat Suhaimi Shafiei dan Adun Batu Caves, Amirudin Shaari terlibat dalam isu penyelewengan dan sindiket kecurian pasir di Selangor.

Selain kes berkenaan, SPRM juga akan turut membentangkan kes Pusat Fidlot Nasional dan kes yang melibatkan siasatan terhadap menantu Menteri Besar Kelantan, Ariff Fahmi Abdul Rahman kepada semua ahli panel. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain