suria

Rakyat Malaysia Harus Punya Jati Diri Yang Ampuh - Najib

SEREMBAN: Rakyat Malaysia harus mempunyai jati diri yang ampuh dan minda yang terbuka untuk menimba segala ilmu bagi memastikan kelangsungan dan identiti bangsa tidak mudah tergadai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menyifatkan jati diri ibarat akar pokok, Najib berkata ia perlu kukuh dan teguh agar tidak mudah 'dicabut' oleh mana-mana pihak.

Katanya jati diri dapat ditonjolkan melalui kebanggaan terhadap adat pusaka yang diwarisi, boleh dipaparkan melalui adat resam dan kebudayaan, pegangan agama dan keluruhan nilai murni yang diamalkan.

"Sebab itu amat penting bagi kita untuk menghayati satu pemikiran yang mana jati diri kita ini kita ibaratkan sebagai akar, dan akar kita ini mesti merupakan akar yang kukuh dan teguh.

"Kalau akar kita teguh, tidak ada sesiapa boleh mencabut akar yang bertunjang dan berpasak di atas bumi yang bertuah ini," katanya pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, di sini, Jumaat.

Perdana Menteri berkata bagi melengkapkan jati diri, rakyat juga perlu mempunyai akal atau minda yang canggih dan terbuka untuk menimba pelbagai ilmu dalam mendepani segala cabaran dalam dunia globalisasi sekarang ini.

"Akal atau minda kita mesti bersifat terbuka, sebagai nasionalis dan internasionalis, ertinya, minda kita terbuka untuk menimba segala ilmu tidak kira ilmu dari barat atau timur atau dari sudut mana kerana akal kita mesti diisi dengan segala ilmu yang canggih," katanya.

Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan bahawa ilmu yang ditimba harus berpaksi kepada nilai budaya tempatan bagi memastikan jati diri bangsa tidak akan hilang.

Begitu juga, katanya, amalan atau trend anak muda masa kini yang lebih gemar kepada gaya hidup barat, termasuk daripada segi pemilihan makanan segera dan barangan berjenama luar juga boleh menyebabkan rakyat hilang identiti atau jati diri masing-masing.

Mengingatkan masyarakat tentang pentingnya sejarah, Najib yang merujuk peristiwa hitam kejatuhan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, menyifatkan tewasnya sebuah peradaban Melayu Melaka di tangan Portugis disebabkan dua faktor iaitu kurangnya ilmu dan perpaduan antara rakyat.

"Kita tewas kerana musuh (Portugis) datang dengan ilmu yang lebih tinggi, misalnya dengan meriam... sedangkan kita hanya bersenjatakan keris dan tombak.

"Kesudahannya walaupun kita dengan semangat kepahlawanan tetapi semangat yang berkobar-kobar tanpa ilmu, kita tidak akan berjaya. "Kejatuhan Melayu Melaka juga kerana kita rapuh dan bersengketa serta tidak bersatu antara satu sama lain," katanya, sambil mengingatkan anggota pertubuhan itu agar tidak sekadar mempunyai semangat berkobar-kobar, tanpa melengkapkan diri dengan ilmu dalam menghadapi 'peperangan' dalam zaman moden ini.

Perdana Menteri turut berharap persatuan pesilat gayung dapat menjadi komponen penting dalam penyatuan dan perpaduan di dalam negara ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain