suria

Polis Malaysia Tahan Rakyat Arab Saudi Yang Hina Nabi

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia telah menahan seorang wartawan warga Arab Saudi yang melarikan diri dari negaranya ke sini setelah mesej yang ditulisnya dalam laman twitter mengenai Nabi Muhammad telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

Agensi berita AFP melaporkan, Hamza Kashgari, 23, telah ditahan sebaik sahaja beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut AFP, Kashgari ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia selepas terdapatnya permintaan untuk berbuat demikian oleh Interpol hasil daripada permohonan rasmi pihak berkuasa Arab Saudi.

Minggu lalu ketika seluruh umat Islam menyambut ulang tahun hari kelahiran Nabi Muhamad Hamza telah menghantar mesej melalui laman twitter dengan kata-kata yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Rasulullah.

Kata-kata kontroversinya itu telah mencetuskan 30,000 respon di negara-negara Arab - sebahagian besarnya mendesak supaya dia ditahan kerana menghina Nabi.

Walaupun Hamza Kashgari telah menghantar mesej memohon maaf di atas keterlanjurannya itu tetapi kemarahan terhadapnya tidak juga berkurangan.

Adalah difahamkan pihak berkuasa Malaysia akan menyerahkan Hamza kepada kerajaan Arab Saudi walaupun tidak ada perjanjian rasmi di antara kedua-dua buah negara dalam soal ekstradiksi.

Bagaimanapun, Malaysia dan Arab Saudi mempunyai perjanjian dalam urusan keselamatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain