suria

Ongkili Tidak Setuju Dengan Tafsiran Peguam Besar Sabah Mengenai Status NCR

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili tidak bersetuju dengan pentafsiran Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Roderic Fernandez berhubung peruntukan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di dalam Ordinan Tanah Sabah (SLO) bahawa "tiada tanah NCR selepas 1930".

Menyifatkan ia satu tafsiran yang salah, beliau berkata tidak seperti di Sarawak, tiada tempoh tertentu berhubung tanah NCR di dalam konteks Sabah.

"Jika anda melihat dengan jelas Ordinan Tanah Sabah, ia tidak menyatakan sedemikian. Saya bukan seorang peguam terlatih tetapi saya mempunyai beberapa latihan undang-undang asas dan saya fikir ia adalah satu tafsiran yang salah kerana penghakiman yang dilakukan Mahkamah Tinggi Borneo selama bertahun-tahun ini mengiktiraf asas tanah-tanah NCR yang diwujudkan di Sabah.

"Saya fikir ia adalah satu kenyataan yang menyedihkan dan berbahaya. Sudah pasti ia adalah hak mahkamah untuk memutuskan apabila ia dikemukakan di mahkamah tetapi keputusan-keputusan sebelum ini adalah konsisten dengan hak adat bumiputera boleh diwujudkan dalam ordinan tanah... jika tidak semua keputusan mahkamah tentunya salah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai kemajuan Koridor Pembangunan Sabah di pejabat Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), di sini, Jumaat.

Ongkili, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Fernandez semalam bahawa tiada tanah NCR baru boleh diwujudkan kerana hanya tanah-tanah "yang masih" didiami penduduk pribumi sebelum SLO berkuatkuasa diiktiraf mempunyai status berkenaan.

Fernandez juga dipetik sebagai berkata bahawa tiada peruntukan di dalam SLO bagi kaum pribumi yang diduduki selepas tahun 1930 dan didakwa sebagai NCR dan tuntutan bagi tanah NCR hari ini mesti membuktikan pemilikan tanah adalah sebelum 1931.

"Saya tidak tahu bagaimana beliau boleh membuat tafsiran sedemikian tetapi apa yang boleh saya katakan bagi pihak PBS dan saya pasti Barisan Nasional juga akan berbuat demikian yakni jika beliau terbukti benar sebagaimana dinyatakan undang-undang menerusi mahkamah, maka saya fikir BN Sabah akan memastikan kami meminda ordinan berkenaan (SLO) bagi melindungi tanah NCR di Sabah.

"Jika beliau benar, PBS akan segera mengambil tindakan bagi kerajaan B Nmengambil langkah dan melakukan pindaan dalam Ordinan Tanah Sabah bagi melindungi hak kaum pribumi Sabah dilindungi di bahawa ordinan berkenaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain