suria

Najib Dijangka Umum Suruhanjaya Diraja Pati Di Sabah

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat pengumuman mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah ketika lawatannya ke sini minggu depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata mesyuarat kabinet terkini telah membincangkan perincian mengenai cadangan RCI itu.

"Memang tidak mustahil beliau akan buat pengumuman itu jika anda semua bertanya kepada beliau mengenainya," katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Beliau yang ditemui selepas taklimat perkembangan Koridor Pembangunan Sabah diminta mengulas status terkini cadangan RCI yang menjadi topik hangat pemimpin di Sabah baik dari Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang.

Katanya beliau yakin Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai perkara itu yang sememangnya ditunggu-tunggu rakyat Sabah, secepat mungkin. Najib dijangka mengadakan lawatan dua hari ke Sabah bermula 16 Februari ini.

Ongkili yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah berkata semua pemimpin parti komponen BN Sabah mahu isu tersebut diselesaikan.

"Kami mahu RCI yang bukan sekadar menghasilkan keputusan terbuka tetapi lebih daripada itu dalam menangani isu pendatang tanpa izin ini. "Bagaimana ini berlaku, siapa yang terlibat dan apakah tindakan ke atas mereka yang terlibat. Ini RCI yang tipikal...selalunya dengan keputusan terbuka," katanya.

Ditanya mengenai penambahbaikan proses pilihan raya, Ongkili yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikan Pilihan Raya (PSC), berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima enam daripada 10 usul yang dikemukakan PSC.

"Satu daripada cadangan itu ialah penggunaan dakwat kekal dalam semua pilihan raya. Jika semua berjalan dengan baik, langkah ini akan diwartakan pada 15 Februari ini...boleh diguna pakai jika Perdana Menteri umum adakan pilihan raya lebih awal tahun ini," katanya.

Katanya menurut SPR, tempoh tiga hari yang diberi kepada calon untuk menarik diri selepas hari penamaan calon juga sudah dimansuhkan dan peraturan tersebut akan diwarta pada minggu pertama April ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain