suria

Cuepacs Minta PLUS Lupus Bayaran Tol Untuk Kenderaan Rasmi Jabatan Bomba

IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta pihak pengurusan Lebuhraya Utara Selatan, Plus Expressways Berhad tidak mengenakan sebarang bayaran tol ke atas kesemua kenderaan rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menggunakan lebuh raya itu.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata ini kerana kenderaan rasmi jabatan itu adalah digunakan bagi tujuan rasmi perkhidmatan dan permintaan itu disuarakan selepas permohonan jabatan berkenaan kepada Plus tidak mendapat sebarang reaksi.

"Kita juga telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Shaziman Abu Mansor). Kenderaan rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat sepatutnya tidak dikenakan bayaran tol kerana sudah tentu ia digunakan bagi tujuan rasmi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam di sini, Jumaat.

Beliau berkata perkara itu turut dibincangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Cuepacs yang turut disertai oleh Kesatuan Pekerja Bomba Penyelamat Semenanjung Malaysia (KPBPSM) dan mereka menetapkan dua perkara sekiranya Plus tidak mengecualikan bayaran tol ke atas kenderaan rasmi jabatan itu.

"Pertama, sekiranya Plus masih mengenakan bayaran tol kepada kenderaan rasmi jabatan itu, KPBPSM menetapkan mereka akan menggunakan laluan biasa walaupun jika diperlukan semasa kecemasan. "Kedua, kita akan mengenakan pakej berbayar sekiranya mereka (Plus) mahu menggunakan perkhidmatan kita termasuk pada musim-musim perayaan," katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung KPBPSM Mohd Sayuthi Harun berkata mereka meminta supaya Shaziman mengambil perhatian perkara itu dan pihaknya memberi tempoh sehingga 25 Feb ini untuk Plus membuat keputusan berhubung permintaan mereka.

"Jarak lebuh raya utara selatan ini sangat panjang, bayangkan jika kenderaan rasmi jabatan ini bergerak untuk memberi perkhidmatan terbaik kita dengan menggunakan laluan lebuh raya itu," katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima rungutan daripada anggota bawahan yang seringkali menggunakan wang sendiri untuk membayar tol bagi tujuan rasmi.

Oleh yang demikian, kesatuan itu meminta Plus mengecualikan bayaran tol bagi kenderaan rasmi jabatan berkenaan yang menggunakan lebuh raya itu seperti lebuh raya lain yang memberikan kemudahan itu, kata Mohd Sayuti. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain