suria

Aliran Trafik Dialih Sementara Di Persimpangan Bertingkat Subang Jaya Selatan LDP

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di persimpangan bertingkat Subang Jaya Selatan, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) akan dialihkan sementara pada Selasa dan Rabu depan bagi kerja pemasangan rasuk di persimpangan itu.

Ketua Jabatan Komunikasi Lingkaran Trans Kota (Litrak) Shah Rizal Mohamed Fawzi berkata peralihan aliran trafik akan bermula dari 12 tengah malam hingga 6 pagi.

Peralihan membabitkan laluan dari Puchong membelok ke kanan arah Persiaran Kewajipan dan dari Persiaran Kewajipan membelok ke kiri arah Shah Alam, katanya dalam kenyataan, di sini, Jumaat.

"Pengguna boleh membuat pusingan-U di persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) atau membelok ke kiri memasuki LDP dan membuat pusingan-U di Putra Heights," katanya.

Shah Rizal berkata laluan lain yang bersambung terus dengan persimpangan bertingkat itu tidak mengalami perubahan sepanjang kerja-kerja pemasangan rasuk tersebut.

"Skim pengurusan trafik sementara dan papan tanda tunjuk arah bagi peralihan trafik itu akan disediakan dan pengguna dinasihatkan mematuhi papan tanda tersebut demi keselesaan semua," katanya.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi talian bantuan LDP di 03-7494 7333 atau melayari laman sesawang di www.litrak.com.my.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain