suria

Abang Beng Hock Fail Rayuan Keputusan Mahkamah Tinggi

SHAH ALAM: Abang kepada Teoh Beng Hock pada Jumaat memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini 1 Disember tahun lepas yang menolak permohonan keluarga mendiang untuk menyemak keputusan terbuka inkues mengenai kematian setiausaha politik kepada seorang Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor itu.

Teoh Meng Kee memfailkan notis rayuan itu melalui peguamnya Gobind Singh Deo di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 2.45 petang.

Notis itu difailkan selepas Mahkamah Rayuan pada 2 Februari lepas memutuskan untuk membenarkan keluarga Beng Hock mengemukakan rayuan terhadap keputusan terbuka Mahkamah Koroner dalam siasatan kematian pembantu politik itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Sulaiman Daud bersetuju sebulat suara terhadap hujahan Gobind Singh bagi pihak keluarga Beng Hock, bahawa terdapat isu perundangan yang perlu diperhalusi oleh mahkamah.

Permohonan di Mahkamah Rayuan itu difailkan oleh Meng Kee selaku pemohon untuk merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Abdul Rahim Uda yang menolak permohonan semakan inkues siasatan kematian Beng Hock.

Pada 5 Januari tahun lepas, koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya.

Pada 21 Julai tahun lepas, sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen menetapkan bahawa kematian Beng Hock akibat membunuh diri.

Beng Hock, 30, merupakan pembantu politik kepada Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor yang ketika itu terletak di tingkat 14 bangunan berkenaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain