suria

Wan Syahinur 'Main' Isu Lama Di Selangor - Rafizi

Oleh IZRA ABD RAHMAN PETALING JAYA: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berkata kes rasuah, curi pasir dan pembunuhan berprofil tinggi yang didakwa sebagai isu besar di Selangor oleh Pengarah Eksekutif NFCorp, Wan Shahinur Izmir Salleh adalah isu lama.

Tetapi katanya, jika ada bukti baru tentang kesemua isu yang dikatakan berlaku di Selangor itu, sila hantar kepadanya dan beliau sendiri akan meminta kerajaan negeri menyiasatnya.

Malah kata Rafizi lagi, kerajaan negeri Selangor sentiasa bersikap terbuka untuk mana-mana pihak yang bertanggungjawab menjalankan siasatan berterusan terhadap mereka yang didakwa terbabit dengan sebarang kes penyelewengan di negeri itu.

"Kerajaan negeri telah bersikap terbuka untuk sesiapa sahaja menjalankan siasatan terhadap kes-kes tersebut.

"Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas membuat siasatan, malah stesen TV pun ada yang sudah siasat," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Rafizi, adalah tidak wajar untuk Wan Shahinur atau pihak tertentu untuk menyamakan kes-kes tersebut dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (PFN) yang baru dan mendapat perhatian rakyat.

"Isu PFN adalah isu baru yang tidak pernah ada cubaan untuk mendedahkan menyelewengannya sebelum ini.

"Berbeza, sampai tak ada keterbukaan dalam siasatan (bongkar penyelewengan). Kita pula yang kena upah penyiasat persendirian," jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Wan Shahinur pada Rabu yang menasihatkan beliau supaya memberi fokus kepada tiga kes lebih besar di Selangor berbanding isu projek PFN yang di luar bidang kuasanya.

Mengulas lanjut kenyataan Wan Shahinur itu, Rafizi berkata, pengarah NFCorp tersebut sepatutnya menjawab tentang pendedahan terbaru pembangkang berkaitan pembelian kondominium di Singapura.

Katanya, penjelasan Wan Syahinur mempunyai kaitan dengan persepsi masyarakat terhadap Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Barisan Nasional (BN).

"Kenapa langsung tak sebut tentang pembelian kondo? Kalau saya tak betul, dia boleh saman saya mungkin lagi beberapa juta.

"Bila dia tak boleh jawab, dia cuba main politik tapi dia bukan orang politik.

"Ada sesetengah kes seperti curi pasir adalah masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu, nanti mereka juga yang malu," katanya.

Rafizi berkata, pihaknya bersedia jika terdapat pihak yang ingin tampil bersama bukti untuk dikaitkan dengan penyelewengan atau kes-kes tertentu di Selangor.

"Kalau ada bukti boleh bawa kepada saya sendiri, kerajaan atau polis, saya tak ada masalah. Kalau siasatan dijalankan dan mendapati kita salah, kita reda dan terima," tegasnya.

Pada Rabu, PKR sekali lagi membuat pendedahan terbaru berhubung skandal PFN apabila mendakwa keluarga Shahrizat membeli dua unit kondominium mewah di Marina Bay Suites, Singapura bernilai lebih RM34.56 juta.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain