suria

Saya Sedia Terima Memorandum:Rais

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata beliau bersedia menerima memorandum daripada Pemuda PAS berhubung Hari Kekasih atau Valentine's Day yang dilapor akan diserahkan kepadanya.

Beliau menarik perhatian bahawa Malaysia adalah negara pelbagai kaum dan semua pihak perlu menghormati amalan dan budaya pihak lain.

"Bagaimanapan, kami bersedia menerimanya (memorandum berkenaan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan Seminar Perlindungan Data Peribadi 2012 di sini, Khamis.

Satu laporan memetik pemimpin Pemuda PAS Wilayah Persekutuan sebagai berkata memorandum bagi membantah promosi besar-besaran oleh media bagi sambutan Valentine's Day akan diserahkan kepada Rais di pejabat menteri itu, Jumaat.

Mengulas laporan bahawa Thailand menyokong polisi tapisan yang diperkenalkan oleh laman web sosial Twitter, Rais berkata kementerian perlu melihat perkara itu secara objektif sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Dilaporkan Twitter akan membenarkan tapisan spesifik negara terhadap isi kandungan yang mungkin melanggar undang-undang tempatan.

Rais berkata: "Sekiranya perkembangan yang wujud di Malaysia menyebabkan keselamatan terjejas atau kepentingan-kepentingan sivil diketepikan, maka kita akan membuat kajian perbandingan dahulu.

"Jika apa yang dilakukan oleh Thailand itu menzahirkan satu situasi yang baik secara nasional, kita akan melihatnya daripada sudut perundangan, hak peribadi di samping kepentingan urus niaga online selain kepentingan komunikasi rakyat". - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain