suria

RM36 Juta Dibayar Kepada 10,00 Peserta 1Azam Di Sabah

KOTA KINABALU: Sebanyak RM36 juta dibelanjakan tahun lepas bagi membayar elaun bulanan 1Azam kepada lebih 10,000 peserta di Sabah, kataKetua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata pembayaran elaun itu dibuat menerusi pelbagai program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup golongan sasaran di bawah sistem e-Kasih.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga giat melaksanakan projek Mini Estet Sejahtera (Mesej), Program Bantuan Rumah (PBR), Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Projek Peningkatan Ekonomi Setempat dan projek agropolitan di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

"Setakat 3 Februari, sejumlah 2,397 buah rumah bina baru di bawah PBR disiapkan di bawah fasa 1, sementara 308 buah daripada 350 buah rumah di bawah fasa 2 telah disiapkan oleh pejabat-pejabat daerah, daerah kecil dan juga Dewan Bandaraya Kota Kinabalu serta Majlis Perbandaran Sandakan dan Tawau," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) dan Pembasmian Kemiskinan Peringkat Negeri di sini hari ini.

Musa berkata daripada 2,531 projek baik pulih rumah yang diluluskan di bawah PBR tahun lepas, 361 rumah telah siap dibaik pulih dan 239 lagi sedang dilaksanakan.

Sebanyak 1,400 rumah bina baru dan 1,992 rumah baik pulih diluluskan untuk tahun ini. Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri telah membuat permohonan agar projek baik pulih rumah itu ditukar kepada projek bina baru.

Di samping itu, Musa berkata 150 rumah disiapkan melalui peruntukan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk Mesej Akualkultur Nala di Tungku, Lahad Datu dan kini diduduki 62 Ketua Isi Rumah Miskin Termiskin (KIRMT).

Beliau berkata terdapat 29 Mesej kelapa sawit dan getah sedang dalam pelaksanaan di seluruh negeri yang mana tiga daripadanya iaitu Pulau Sebatik di Tawau, Bunang di Sook dan Kampung Lanung di Tongod diduduki KIRMT.

Lebih 1,700 KIRMT akan mendapat faedah daripada pelaksanaan Mesej dan Mesej Mikro di seluruh negeri apabila siap sepenuhnya, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain