suria

Polis Cari Saksi, Suspek Utama Bantu Siasatan

KUALA LUMPUR: Polis ingin mencari dua remaja yang juga saksi utama bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini berkata mereka ialah Nasiha Al Sakinah Kamaruzzaman, 20, dan Wafa Nabila Kamaruzzaman, 16, masing-masing beralamat terakhir di Blok H-9-12, PPR Desa Rejang Setapak, Kuala Lumpur.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mereka diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Nurul Akma Kamadudin di talian 019-3545054 atau ASP S. Chandra Segaran di talian 012-9777900 atau Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-21460693.

Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585.

Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur sedang mengesan seorang lelaki berbangsa India yang juga suspek utama bagi menjalankan siasatan berhubung kes di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971/395/397 Kanun Keseksaan.

Menurut kenyataan itu, suspek berbadan gempal, tinggi, berambut lurus paras bahu serta bermisai dan berjanggut tebal manakala terdapat kesan parut sepanjang satu inci di bahagian kening sebelah kiri serta terdapat banyak kesan lubang kecil pada wajahnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur di talian 03-26002222 sambungan 2403 atau hubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Sufian Amin.

Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur di talian 03-26977099 atau Hotline Rakan Cop Kuala Lumpur 03-21159999 atau SMS ke 32728 atau tampil di balai polis berdekatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain