suria

Operasi Mencari Pelajar Hilang Di Sungai Diteruskan

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat pada Khamis meneruskan usaha mencari seorang pelajar yang dilaporkan hilang sejak semalam setelah tenggelam ke dalam Sungai Midin di Kampung Semerah Padi dekat sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Terry Robson berkata operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan 39 anggota termasuk anggota Jabatan Pertahanan Awam, Rela dan penduduk Kampung Semerah Padi.

Beliau berkata kehilangan Mohd Idris Roni, 13, dilaporkan kira-kira pukul 7.30 petang semalam dan operasi mencari dan menyelamat digerakkan meliputi kawasan sehingga ke Sungai Semariang Batu dan dihentikan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

"Operasi kami disambung lagi mulai pukul 7.30 pagi tadi tetapi setakat ini masih belum lagi dapat menemui mangsa," katanya. Mohd Idris dikatakan menemani seorang rakannya untuk memeriksa bubu ketam yang dipasang di tepi sungai berkenaan sebelum dia tiba-tiba tenggelam ke dalam sungai. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain